Proses Membuat
Alatan yang biasanya digunakan untuk membuat batik.
1.Blok penerap
2.Campuran lilin
3.Kain
4.Pencelup
5.Sebuah Meja
Kain benang kapas berwarna putih merupakan yang sesuai
untuk membuat batik. Selepas diterap dengan lilin pertama, ia akan dicelup
dengan warna yang gelap sedikit. Setelah itu, ia akan diterap untuk kali kedua
dan kemudian dicelup dengan warna yang lebih gelap. Proses ini akan diteruskan
hingga habis. Kain ini akan direbus dalam air yang mengandungi soda. Apabila
direbus, warna-warna yang berlainan akan kelihatan. Kain batik ini kemudiannya
akan dijemur hingga kering. Kain-kain batik yang sudah kering, akan digosok,
dilipat dan dibungkus untuk dipasarkan.
Penjenisan Kain Batik
Batik terbahagi kepada tiga jenis.
1. Batik Blok
Kain putih akan diterapkan dengan corak batik yang
menggunakan blok corak. Blok corak diperbuat daripada kayu atau logam. Proses
ini dilakukan berulang-ulang dengan mengikut susunan yang tertentu sehinggalah
selesai. Di mana blok itu telah dicelupkan terlebih dahulu ke dalam pewarna
sebelum ditekapkan di atas kain tersebut.
2. Batik Conteng
Alat canting digunakan bagi melakar corak batik dengan
lilin panas di atas kain putih. Setelah kerja-kerja melakar selesai, proses
mewarna mengikut kesesuaian corak dilakukan dengan menggunakan berus cat,
dimana bahagian-bahagian yang terkena lilin itu tidak akan meninggalkan kesan warna
apabila proses mematikan warna di lakukan. Lilin akan cair dan tanggal
menjadikan bahagian-bahagian ini berwarna putih sebagai benteng.
3. Batik Skrin
Batik skrin ini tidak kurang hebatnya jika dibandingkan
dengan batik blok dan conteng. Hanya kaedah melakar corak dan cara menerapkan
warna sahaja yang berbeza. Corak batik dibentuk di atas skrin yang diperbuat
daripada kain polyster yang berpengidang. Skrin dilekapkan di atas kain putih,
proses pewarnaan dengan melalukan warna di atas corak tadi dengan menggunakan
sekuji. Cara begini akan diulang beberapa kali dengan corak yang berlainan
untuk mendapatkan corak batik yang lengkap. Ini disebabkan satu skrin untuk
satu warna sahaja.
Penggunaan Batik.
Penduduk di negara kita menggunakan batik secara meluas.
Batik digunakan untuk membuat baju, kain sarung atau batik lepas. Sebagai
contoh, pakaian seragam pramugari kapal terbang MAS dibuat daripada batik.
Batik juga digunakan dalam majlis-majlis formal dan majlis keramaian. Selain
dibuat pakaian, batik juga digunakan sebagai hiasan seperti alas meja, cadar,
sarung kusyen, tudung kepala, alas televisyen dan lain-lain lagi. Batik boleh
dibeli dengan harga yang murah dan berpatutan. Batik begitu digemari
pelancong-pelancong asing kerana coraknya yang menarik dan unik. Ia sering
dijadikan buah tangan untuk dibawa pulang ke negara masing-masing.